Feed on
Posts
Comments

“Jadi Mursyidul Am enta lepas ni Farhan”, gurau Walid –Ustaz Ishak Othman- selepas selesainya Mesyuarat Tahunan Cawangan PERUBATAN Cawangan Iskandariah kali ke-3 Khamis lepas.

Sejurus selesai ucapan perletakan jawatan daripada Pengerusi sesi 2008/09, saudara Hafidzuddin Abdul Razak secara rasminya telah tamat tempoh berkhidmat bagi barisan kepimpinan AJKT PCI sesi 2008/09. Atau lebih tepatnya, terlucutlah jawatan saya selaku Ketua Unit Pembangunan Insan setelah 3 penggal memegang amanah ini.

“Alhamdulillah, moga digantikan dengan yang lebih baik”, cetus hati saya.

Setahun lamanya kita bersama, semoga terus menabur jasa

Setahun lamanya kita bersama, semoga terus menabur jasa

PERSATUAN DAN KESATUAN

Menjadi satu agenda utama bagi mana-mana persatuan untuk mengikat ahli-ahli yang berpayung di bawahnya atas  dasar dan objektif yang sama. Tahap kebersamaan ahli di dalam setiap aktiviti yang dianjurkan sesebuah persatuan itu mencerminkan paras kekuatan dan keutuhan yang terbina di dalam persatuan tersebut.

Bagaikan tubuh badan yang sempurna, setiap anggota dan organ di dalamnya saling tampung-menampung dan bantu-membantu membentuk sistem-sistem yang kemudiannya menjalankan fungsi-fungsi tertentu dalam memastikan setiap keperluan tubuh badan itu dipenuhi sebaik mungkin.

Jantung berdegup mengepam darah yang mengandungi oksigen ke setiap sel melalui haemoglobin yang terkandung di dalamnya.

Otak memproses setiap input yang dibawa saraf dari organ tertentu kepada output yang dibawa ke organ seterusnya.

Buah pinggang menapis kandungan dalam darah yang tidak diperlukan atau merbahaya kepada tubuh badan melalui pembuangan air kencing.

Serta banyak lagi proses fisiologi yang berlaku di dalam tubuh badan kita melibatkan sinergi antara tisu dan organ untuk berfungsi dengan baik.

Sabda Nabi SAW:

“Perumpamaan orang yang beriman di dalam berkasih-kasihan sesama mereka, rahmat merahmati dan sayang menyayangi, adalah seumpama satu jasad. Apabila satu anggota mengeluh, ia memberi kesan kepada seluruh jasad sehingga berjaga dan demam.”

Namun, apakah pula jika yang berlaku  adalah sebaliknya?

Tangan yang biasanya menyempurnakan rutin harian tidak lagi mahu menyuap makanan ke dalam mulut.

Mata yang digunakan untuk melihat tidak patuh kepada kehendak diri menggelapkan dunia persekitaran.

Kotak suara yang menghasilkan lunak bunyinya tidak lagi bergetar menyepi dari sebarang reaksi.

Segala-galanya bercelaru.

Inilah tanda keagungan Allah yang ada pada tubuh badan kita sendiri, diatur sebagai satu badan berfungsi yang besar dan kompleks. Kesinambungan dan keselarasan inilah yang boleh kita pinjamkan dalam membentuk satu kesepaduan yang menguatkan sesebuah persatuan melalui peranan ahli,  unit atau biro di dalamnya. Atau lebih mudah, keutuhan PERSATUAN tersebut hanya terbina melalui KESATUAN ahli-ahlinya.

Semakin ramai ahli sedar peranan mereka menggerakkan sendi-sendi persatuan, semakin sempurna fungsi persatuan tersebut, semakin melimpah manfaat yang akhirnya kembali kepada ahli-ahli sendiri.

Begitu juga apabila jentera persatuan terabai dengan keberadaan ahli yang semakin hilang rasa kebersamaan, semakin lesu pergerakan persatuan yang akhirnya melenyapkan amal kebajikan yang mampu dinikmati bersama semua.

Tanpa persatuan, mustahil kesatuan dapat dibina.

Namun tanpa kesatuan, persatuan ibarat tunggul menunggu reput dimamah usia.

MEDAN KEMASYARAKATAN ITU MEDAN MEMBERI

Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT membawa syariat Islam yang bersifat undang-undang bersama. Islam menukar manusia yang ananiah kepada kekitaan, merasa bersama antara satu sama lain sebagai satu ummah.

Sabda Nabi SAW:

“Seorang mukmin yang bercampur gaul dengan orang ramai dan bersabar di atas kesakitan yang dirasai daripada mereka adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak bercampur gaul dan tidak sabar dengan kesakitan yang dirasai daripada mereka (akibat pergaulan itu)”

Bahkan Nabi SAW memberikan peringatan berupa ancaman kepada mereka yang mengenepikan sensitiviti dan sikap mengambil berat sesama mukmin dengan sabda Baginda SAW:

“Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam, maka bukanlah dia itu dari kalangan mereka”

Dalam pada peranan PERUBATAN memayungi seluruh pelajar jurusan sains kesihatan di bumi Mesir, saya melihat di sinilah terbentang luasnya peluang untuk kita menyemai benih-benih keimanan dan memupuk tunas kefahaman Islam yang sebenar kepada bakal-bakal doktor sepanjang 6 tahun keberadaan di sini.

Apakah rupa doktor graduan mesir yang akan dilahirkan nanti, tangan-tangan kita yang bakal menentukan. Sekurang-kurangnya sejauh tangan kita mampu mencapai dan menyempurnakan peranan tersebut.

Daripada Ibn ‘Abbas RA beliau berkata: Abu Bakar RA duduk di atas mimbar Rasulullah SAW, beliau memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi SAW kemudian beliau menghulurkan kedua tangannya dan meletakkannya di atas tempat duduk yang pernah diduduki Rasulullah SAW di mimbarnya itu. Kemudian beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW yang dicintai duduk di sini mentafsirkan ayat:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ عَلَيۡكُمۡ أَنفُسَكُمۡ‌ۖ لَا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا ٱهۡتَدَيۡتُمۡ‌ۚ

Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudharat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya)”.

(Surah Al-Maidah : 105)

“Tidak ada sesuatu kaum yang sebahagian orang daripada kaum itu melakukan kemungkaran dan melakukan keburukan di kalangan mereka dan mereka membiarkannya dengan tidak mengubah dan mengingkari kecuali seluruh kaum itu berhak dikenakan seksa oleh Allah. Doa mereka tidak dimakbulkan. Kemudian beliau (Abu Bakar RA) memasukkan kedua anak jarinya ke telinga dan mengatakan aku harap (adalah lebih baik) yang aku tidak mendengar Rasulullah mengatakan demikian (kerana) tuli.”

(Riwayat Ahmad dari Anas)

Demikian sikap berpeluk tubuh dan berdiam diri terhadap tuntutan dakwah di sekeliling kita merupakan racun yang mampu melumpuhkan gelombang ‘amar makruf nahi munkar’ dan menjauhkan rahmat dan redha Allah SAW dari diri kita.

What you give, you get back. Bak kata orang putih.

Apatah lagi, kesedaran Islam yang diharapkan terus subur mengakar umbi pada pembinaan biah solehah dan pembentukan syakhsiah muslimah dikalangan rakan taulan kita di sini hanya akan terus pudar. Samarnya itu berkadar langsung dengan hilangnya peranan yang digalas oleh mereka yang punyai kesedaran di dalam jiwa.

Dengan sasaran yang jelas melibatkan seluruh pelajar jurusan sains kesihatan di sini, maka tanamkan pemikiran persatuan sebagai MEDAN kita MEMBERI.

TAKSUBKAH KITA?

Seruan mengajak ahli-ahli PERUBATAN bersatu di bawah satu bumbung tidaklah wajar dipandang sebagai usaha menimbulkan bibit-bibit ketaksuban.

Sebagai sebuah persatuan yang meletakkan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qias sebagai pokok perlembagaan utama, perlu kita insafi bersama akan dasar Islam itu yang menjadi tunjang pergerakan kita.

Kesatuan ini dibina di atas panji Islam.

Maka kita bersatu di atas satu dasar yang jelas, Islam sebagai paksinya!

Firman Allah SAW:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَہۡتَدُونَ

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya”.

(Ali Imran: 103)

Realiti hari ini melihatkan kepada kita akan impian yang masih jauh daripada kenyataan yang diidamkan. Impian untuk melahirkan para doktor ‘almuttaqin wal muthaqqafin’ dari muka bumi Iskandariah ini tidaklah mustahil jika kita bersama mengorak langkah mencipta sejarah.

Sejarah yang menjamin masa depan yang cerah buat rakyat Malaysia melihat doktor kelahiran Universiti Iskandarah bukan sahaja terserlah dari sudut keintelektualan mereka. Tetapi disulami dengan ilmu pengetahuan yang luas serta pemahaman dan pengamalan Islam yang sebenar.

Bagaikan tanah lapang yang subur tersedia di depan mata. Sama ada mata hanya melihat atau tulang empat kerat dikerah mengusahakannya demi melihat hasil tuaian yang bermanfaat di masa akan datang.

Tiada siapa memaksa, tiada siapa menghalang.

Semuanya terserah bulat-bulat kepada kehendak dan kerelaan kita.

Segalanya bergantung kepada langkah pertama.

NIAT kita.

AHMAD FARHAN @ ahmadfarhan.hadithuna.com

Iskandariah, Mesir

3 Responses to “Medan Ini Untuk Memberi”

  1. ummunazihah says:

    Masya Allah… membaca tulisan Farhan mengingatkan mama 30 tahun lalu. Semoga anak anak senantiasa istiqamah dan menjadi qudwah hasanah. Mendapat kebaikan, kejayaan dan kemenangan di dunia dan akhirat

  2. tercipta insan sebagai khalifah…
    perjuangan dan dakwah mesti diteruskan…

Leave a Reply

Spam protection by WP Captcha-Free