Musibah itu Bermakna…
June 12, 2009 by ahmadfarhan
![]()
Gambar hiasan
“Inna liLlahi wa inna ilaihi raji’un”, hanya itu ungkapan yang mampu saya ucapkan setelah disahkan pemergian seorang rakan, Ammar bin Zulkifli, pelajar perubatan tahun 3 Universiti Kaherah ke rahmatullah berikutan kemalangan jalanraya sepulangan beliau dan 4 orang sahabat yang lain dari Ain Sukhna menuju ke Kaherah pada malam hari.
Kemalangan tersebut berlaku pada 10 Jun 2009 lalu menjadi titik hitam yang teramat pilu untuk dikenangkan angkara akibatnya yang sungguh menyayat hati semua pihak yang mengenali mangsa-mangsa yang terbabit. Al-Fatihah kita sedekahkan untuk arwah Ammar Zulkifli selaku rakan, sahabat dan saudara seIslam kita.
Al-Fatihah.
Pemergianmu dirasai jiwa yang mengenali
Sehingga waktu ini, Abdul Rahman bin Ramdzan (Aman) dan Mohd Akram bin Abdul Kadir (Eckem) sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Faransawi Kasr El-Ainy, Kaherah.
Aman yang telah sedar dari koma, tersenyum sejurus melihat kehadiran saya bersama abang Hanifah seawal pukul 5.30 pagi di wad beliau. Wajahnya terukir senyuman syukur di sebalik luka dan lebam yang zahir dilihat kami. Lega agaknya seolah diberi peluang kedua selepas mimpi ngeri kemalangan itu terjadi sewaktu beliau dalam lamunan mimpi bahkan koma sejurus kejadian.
Kecederaan yang dihadapi beliau tampak menjamin pemulihan yang sempurna kerana tangan kanan dan kaki kirinya yang patah akan dibedah malam ini mengikut kata doktor yang merawatnya. Luka-luka ringan hampir di keseluruhan badan terutama pada bahagian kanan muka beliau hanya akan mengambil masa untuk menanti sembuh sepenuh dengan izinNya jua.
Bersebelahan katil Aman, terbaring kaku sekujur tubuh yang pada awalnya sedikit sukar untuk saya kenalpasti. Setelah disahkan abang Hanifah, itulah Eckem yang masih belum sedarkan diri dari koma sejak 2 hari lepas. Fizikal luaran beliau tidak menampakkan kesan-kesan luka pendarahan selain edema pada bahagian mukanya. Cedera atau concussion pada bahagian kiri hemisfera otaknya beserta diagnosis ‘cerebal edema’ menjadi faktor koma dan kini dirawat dengan prescription mannitol sebagai agen diuresis.
Tiada kecederaan serius di bahagian saraf tunjang dan organ dalaman. Ibu dan ayah Eckem selamat sampai ke Kaherah pagi tadi bagi menemani dan mengikuti perkembangan beliau dari semasa ke semasa. Semoga Allah memberi kekuata kepada kedua-dua insan ini menjalani hari-hari sepanjang Eckem dalam rawatan di hospital tersebut.
Fitri yang duduk di sebelah pemandu Saif, kedua-duanya hanya mengalami cedera ringan dan berada di rumah masing-masing. Trauma yang mereka hadapi agak teruk terutama sahabat saya Saif yang merasa seakan-akan bertanggungjawab ke atas kejadian yang berlaku. Dengan dua orang cedera parah dan seorang meninggal dunia, saya kira tidak mudah bagi Saif menghadapi kenyataan ini. Semoga Allah melapangkan dada dan meringankan beban emosi yang beliau hadapi.
INSIDEN KEMALANGAN
Sumber: Berita HarianKUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Kaherah, Mesir, meninggal dunia selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya kelmarin.
Muhammad Amar Zulkifli, pelajar perubatan tahun tiga yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang terbabit dalam kemalangan bersama empat rakannya ketika pulang dari Ain Sokhna, selepas waktu Maghrib, kelmarin (waktu Mesir).
Menurut laporan laman web Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang (Mesir) kenderaan yang mereka naiki terbabas apabila cuba memotong sebuah lori dan mengakibatkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.
Muhammad Ammar meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat lagi rakannya cedera. Semua mangsa dihantar ke Hospital Kasr El Ainy untuk rawatan lanjut.
Mangsa lain dikenali sebagai Abdul Rahman Ramdzan dikatakan patah lengan kanan, manakala seorang lagi, Akram Abdul Kadir masih koma. Bagaimanapun, dua lagi rakan mereka hanya cedera ringan.
Jenazah Ammar disembahyangkan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah selepas solat Zohor.
Sementara itu, jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata, jenazah Muhammad Ammar dijangka tiba di Malaysia Sabtu ini. – Bernama
SURATAN TAKDIR
Hakikatnya, apa yang terjadi adalah di dalam ruang lingkup qadha dan qadar Allah Ta’ala. Ketetapan yang sudah tertulis di Luh Mahfuz perlu diyakini umat Islam bahawa di sanapasti terdapat seribu satu hikmah yang memberi kebaikan kepada diri arwah Ammar, keluarga, kawan-kawan dan persekitaran beliau.
Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Sama-samalah kita doakan agar mereka diberi kekuatan oleh Allah S.W.T atas segala yang berlaku. Moga dipercepatkan sembuh, diberikan kekuatan menghadapi kenyataan yang berlaku dan dipermudahkan segala urusan mereka di hari-hari kelak.
Mungkin ini antara ikhtiar yang boleh kita usahakan, selain ziarah dan telefon bertanya khabar samada daripada mangsa atau rakan terdekat mereka.
Bersama kita ambil pengajaran, andai hari esok itu tidak pasti bagi kita, apakah kita masih lagi mahu bertangguh taubat dan lupa akan matlamat hidup kita yang sepatutnya mengejar kesejahteraan di alam baqa sana?
Firman Allah Ta’ala:
“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh..” (An-Nisa’:78)
Pemergianmu dirasai jiwa yang mengenali























Moga ALLAH cinta abang ‘Ammar.
Salam Jihad.