Indah Jalinan Iman
June 9, 2009 by ahmadfarhan

“Sanah helwa ya gamil! Jemputlah datang rumah, sambut hari jadi enta”, ujar ustaz Fairuz di dalam telefon.
Tanggal 5 Jun yang lalu menandakan peningkatan umur saya seiring ajal yang semakin menghampiri. Bukanlah kehendak hati kecil ini mahu diraikan walau dengan sebarang ucapan, tetapi keprihatinan sahabat-sahabat dan keluarga memberi rasa diri ini dihargai.
Berkebetulan pada petang itu juga, Smart Circle di bawah kendalian beliau sedang dijalankan dengan tema perkelahan di atas bumbung. Agak menarik pada pandangan saya dan sememangnya mampu menghidupkan ukhuwah yang mungkin belum lagi terasa sesama ahli.
TUMPUL EMOSI
Cakap-cakap mulut jika tidak disandarkan dari hati yang meluahkan perasaan, pasti tidak membuahkan tindakan yang selari dengannya. Apatah lagi dalam merasakan keterikatan hati sesama orang Islam, betapa ramai terlupa untuk menajamkan perasaan kasih dan sayang ini supaya mampu diterjemahkan dalam bentuk yang boleh difahami persekitarannya.
Sabda Rasulullah S.A.W:
“Setiap perkara kebaikan itu sedekah dan sesungguhnya di antara kebaikan itu kamu menemui saudaramu dengan manis muka dan menuangkan (air) daripada bejanamu ke dalam bejana saudaramu.” (H.R. Tarmizi dan Ahmad)
Sabda Baginda lagi:
“Jangan kamu memandang rendah sebarang kebaikan, walaupun dengan hanya kamu menemui saudaramu dengan muka yang manis.” (H.R. Muslim)
Saranan Rasulullah S.A.W tersebut bukanlah omongan kosong, tetapi itulah hakikat yang perlu disedari semua. Suasana mahabbah fiLlah hanya mampu dihidupkan apabila perbuatan kita itu bersedia memberi gambaran perasaan kasih dan cinta kita bersaudara atas nama Islam, yang terlebih dahulu dipasak kukuh di dalam hati.
Eyes cannot see what mind doesn’t see.

Dr. Osama El-Khouli, pensyarah Psikiatri di dalam kuliah ‘emotion’ menerangkan;
Emotion is a reaction that includes the subjective experience of a feeling, a cognitive interpretation, and internal physiological reaction and some behavioral expression
Dari sudut ilmu psikologi, itulah yang diertikan sebagai emosi. Ia datang dengan detikan perasaan, tafsiran minda, tindakbalas fisiologi badan lantas menggerakkan tubuh untuk berinteraksi sesuai dengan emosi yang dirasakan.
Tanpa salah satu unsur atau komponen yang disebutkan, manusia itu gagal beremosi dan memberi reaksi terhadap persekitarannya.
Di sini menjadi pengukur kepada rasa persaudaraan Islam sesama kita. Tiada guna bercakap seputar ukhuwah Islamiah jika dalam pada masa yang sama jiwa gagal menggerakkan lidah dan anggota badan seiring makna yang ingin dicapai. Langkah atau gerak geri yang memberi makna rasa kasih itu perlu dipamerkan agar saudara seIslam yang lain dapat merasai hangat berkasih-kasihan dalam mengerat tali persaudaraan atas dasar aqidah yang satu.
Baginda S.A.W bersabda:
“Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kelak kamu akan berkasih sayang dan akan hilanglah permusuhan.” (H.R Bukhari)
SATU IKATAN
Manis yang dirasai generasi para sahabat dalam berukhuwah lahir daripada kejernihan iman mereka menghormati dan memuliakan insan seagama. Tidak dipandang malah diketepikan segala rupa kedudukan, keturunan, harta serta pengaruh kabilah sebagai penentu darjat, hanya taqwa yang menjadi ukuran kemuliaan.
Hanya kalimah penyaksian yang terucap menyimpul ikatan dan memperindah jalinan kasih sayang antara mereka tanpa sebarang nilai prejudis mendua-tarafkan antara si miskin dan si kaya, si tuan dan si hamba, dan sebagainya.
Lihat sahaja kisah-kisah yang masyhur setelah umat Islam dijemput mendiami kota Yathrib, tali persaudaraan yang Rasulullah S.A.W jalinkan antara kaum Ansar dan Muhajirin berjaya mengukuhkan kedudukan umat Islam. Kesan yang begitu ketara ini timbul apabila rasa saling berkasih sayang itu diterjemahkan dalam hidup sehari-hari dan dibina atas tapak keimanan dan aqidah yang jelas.

Adalah seburuk-buruk akibat, apabila rasa persaudaraan itu terbina sekadar berlegar di dalam kelompok atau kumpulan tertentu sahaja memekat hipokrasi dan semangat assabiyah dikalangan mereka. Sedangkan Rasulullah S.A.W tatkala nafas terakhirnya dihembus bersama kecintaannya terhadap umat, masakan kita sanggup memilih orang-orang tertentu untuk dihulur rasa cinta warisan Baginda S.A.W.
Sabda Rasulullah S.A.W ertinya:
“Ikatan iman yang paling kuat ialah kasih sayang kerana Allah dan marah kerana Allah.” (H.R Ahmad)
Ukhuwah yang terjalin erat diantara muslimin merupakan manifestasi keimanan mereka yang kukuh. Maka tidak hairanlah jika rasa keterikatan sesama umat Islam ini rapuh, lantas mencerminkan betapa rapuhnya iman umat akhir zaman ini.
Daripada Muaz R.A, daripada Rasulullah S.A.W:
Allah berfirman: “ Wajib mendapat kasih sayang ku bagi orang-orang yang berkasih sayang kerana ku, orang-orang yang duduk bersama-sama kerana ku, saling hadiah menghadiah kerana ku dan orang-orang yang saling menziarahi kerana ku.” (H.R Ahmad)
Harapnya kehadiran saya dalam majlis tempoh hari menambah lagi seri, walaupun secara langsung mengurangkan kouta hidangan yang boleh dinikmati setiap seorang hadirin. Namun keberkatan rezeki yang Allah limpahkan keatas hambaNya, juadah yang tersedia terlebih cukup dan kesemua kami pulang dengan tangki yang terisi penuh.

Itulah manifestasi persaudaraan Islam, atas dasar aqidah yang satu, seorang muslim itu ringan lidah dan anggotanya menzahirkan rasa kasih kepada muslim yang lain baik lahir dari ucapan mahupun tindakan.
Syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi.
AHMAD FARHAN @ ahmadfarhan.hadithuna.com
Iskandariah, Mesir.
























selamat hari lahir..