Persimpangan Takdir Bumi Palestin
June 5, 2009 by ahmadfarhan

“Asyik-asyik kempen Palestin, aku dah bosan dengar pasal isu pencerobohan Palestin. Benda sama juga yang akan disebut”, keluh seorang sahabat tatkala hebahan kempen ‘Palestine Evergreen’ anjuran Jabatan Bendahari, Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) Cawangan Iskandariah dibuat.
“Alah, ni semua semangat meletup-letup sepanjang kempen.. Habis kempen ni, hilang melayanglah “semangat Palestin” tu semua..”, sindir halus seorang rakan yang lain.
Bermula tahun lepas, isu Palestin selalu diketengahkan kepada ahli-ahli PERUBATAN Cawangan Iskandariah (PCI) dalam bentuk kempen atau ceramah sekurang-kurangnya sekali setahun. Pelajar-pelajar diingatkan akan musibah yang menimpa saudara-saudara seIslam mereka di tanah Palestin – seawal sejarah penjajahannya oleh British pada Perang Dunia Kedua sehingga kezaliman zionis Yahudi laknatullahi ‘alaihim ke atas saki- baki bangsa Arab yang mendiami bumi Palestin kini – dan juga peranan yang perlu diambil oleh umat Islam sedunia bagi menangani isu kemanusiaan di sana.
Teringat saya kepada persoalan yang diajukan sahabat urusetia kempen ‘Palestine Evergreen’ yang lebih kurang bunyinya, “Pada pandangan engkau, apa fokus yang boleh kita ambil dalam menyalurkan semangat kawan-kawan kita melalui isu Palestin kali ini?”. Pendek ayat soalan yang dilemparkan, tetapi kepala saya berpusing seketika mencari kunci jawapan yang dikehendakinya. Kerana sudah pasti penyelesaian kepada isu ini bukan sebaris dua, malah berjela-jela panjangnya jika mahu dibincangkan.
POKOK PERSOALAN
Tragedi berdarah yang menghantui umat Islam di Palestin hanyalah salah satu daripada berpuluh-puluh episod kekejaman dan penindasan terhadap umat Islam yang tercatat dalam lembaran sejarah dunia sejak berkurun lamanya. Masih terpahat kukuh sejarah hitam dalam ingatan umat ini peristiwa penyembelihan dan pembunuhan beramai-ramai saudara seIslam kita di Bosnia dan Kosovo oleh tentera Serbia, Chechen dan Afghanistan oleh tentera Soviet Russia, Maluku dan Acheh oleh fanatik Kristian, Sir Lanka dan Kashmir oleh fanatik Hindu, Turkestan Timur oleh tentera Komunis China, Selatan Thailand oleh tentera Thailand, Algeria dan Tunisia oleh Penjajah Perancis, dan banyak lagi siri genocide yang berlaku seawal abad ke-19 hingga ke hari ini.
Bukan sekadar itu, kebanyakan negara umat Islam yang merdeka pada hari ini masih lagi menagih simpati dari pihak yang jelas memerangi Islam sehingga tergamak memejamkan mata, memekakkan telinga, membisu seribu bahasa terhadap segala bentuk kezaliman dan kerakusan pihak kuffar harbi yang dilaporkan media dunia saban hari. Malah yang terlebih dahsyat, membuka laluan dan memberi kerjasama dalam melemahkan barisan pejuang Islam!

Begitu sekali umat Islam pada kaca mata dunia, lemah sehingga sewenang-wenangnya dipijak-pijak musuh yang bencikan kalimah Syahadah. Betapa hinanya nasib dan betapa malangnya padah yang menimpa umat kesayangan nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W. Puncak ketewasan umat Islam sekarang ini terpapar jelas di hadapan kita apabila tanah suci ketiga, bumi Al-Quds yang berdiri di atasnya Masjid Al-Aqsa jatuh ke dalam genggaman zionis Yahudi laknatullah.
Di manakah janji-janji kemenangan yang dijamin Allah dan RasulNya kepada golongan beriman pada saat genting ini?
Apakah ini yang selayaknya diterima umat Islam setelah mengakui keesaan Allah Azza wa Jalla dan kebenaran risalah Muhammad S.A.W?
TIP OF THE ICEBERG
Suatu hakikat yang perlu disedari semua, situasi pada hari ini merupakan ‘presenting case’ yang memperlihatkan ’signs and symptoms’ penyakit sebenar kepada konflik-konflik yang melanda umat Islam keseluruhannya. Kesengsaraan, kebuluran, ketakutan, kehilangan punca rezeki dan tempat tinggal, kematian sanak saudara, kemusnahan harta benda dan segala malapetaka yang menimpa umat ini adalah diakibatkan kealpaan dan kejahilan yang akhirnya membuahkan kelemahan dan kehinaan!
Sabda Rasulullah S.A.W ertinya:
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi saw. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka“. (H.R. Muslim)
Firman Allah S.W.T ertinya:
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati perintah orang-orang kafir itu, nescaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kekafiran), lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi”. (Ali Imran:100)
Bernard Lewis di dalam bukunya ‘What Went Wrong?‘ menerangkan bahawa apabila tingkap sejarah tamadun Islam dibuka dan dipertontonkan semula , satu demi satu kelemahan umat Islam berjaya disingkap. Kemuncak kejatuhan tamadun Islam adalah ketika zaman khilafah Turki Uthmaniyah, di mana masyarakat secara perlahan-lahan mengadaptasi budaya barat demi untuk mencapai ‘kemodenan’. Akibatnya ketika kurun ke 17-18, tamadun Islam mula mencedok satu persatu budaya barat sehingga sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran dan tindakan umat Islam ketika itu.

Antara contoh perubahan yang ketara adalah pemakaian dan susun atur tentera kerajaan Islam Turki ketika itu. ‘Marching band’ diperkenalkan oleh Sultan Mehmed II supaya tentera Turki dapat terus bertahan setanding dengan tentera Barat. Begitu jua dengan pengenalan uniform tentera dan pemakaian kasut. Keghairahan pemimpin umat Islam ketika itu mahu dipandang setaraf dengan kuasa besar dunia telah memberikan satu corak pemikiran pro-Barat yang sedikit demi sedikit menghakis jati diri orang Islam itu sendiri yang secara halusnya membawa ummah ke lembah kerugian dan kehinaan.
Malah kata-kata beliau yang boleh kita sama-sama fikirkan, berbunyi:
“The point has often been made- if Islam is an obstacle to freedom, to science, to economic development, how is that Muslim society in the past was a pioneer in all three, and this when Muslims were much closer in time to sources and inspirations of their faith than they are now? Some have indeed posed the questions in a different form- not ‘What has Islam done to the Muslims?’ but ‘What have the Muslims done to Islam?,”
Jelasnya budaya Islam yang menjadi teras kegemilangan umat ini suatu masa dahulu berjaya memacu sebuah kerajaan sehingga terbina sebuah empayar dan membuka 2/3 dunia ini dengan seruan kembali kepada kalimah yang agung, “La Ilaha Illallah, Muhammadur Rasulullah“. Pegangan dan keyakinan mereka yang teramat teguh terhadap ajaran Islam berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah terbukti berkesan dalam merealisasikan konsep khaira ummah yang difirmankan Allah di dalam Al-Quran (3:110). Keutuhan iman inilah sebenarnya menjadi pasak kemajuan dan kekuatan sebuah khilafah Islam yang mencorak keperibadian rakyatnya berpandukan akhlak Islamiah, menyatu dan mempersaudara antara rakyatnya, mempraktik suruhan Allah dalam segala sudut bidang dan memupuk sikap gemar mengkaji dan mempelajari pelbagai lapangan ilmu sehingga umat ini mampu menandingi kuasa-kuasa besar ketika itu lantas diakui keagungan dan kehebatannya.
Realiti di kebanyakan negara yang didiami majoriti umat Islam kini melihatkan kepada dunia betapa jauhnya Al-Quran dan AS-Sunnah itu daripada diri, keluarga, masyarakat dan sistem kenegaraan mereka. Sistem Islam yang dahulunya pernah mengangkat kaum Arab yang dipandang hina kuasa besar Rom dan Parsi menjadi seagung-agung masyarakat telah hilang ditelan zaman atas nama ‘kemodenan’. Malah, Kesultanan Melayu Melaka yang luas pengaruhnya dan diakui kegemilangannya di awal abad ke-15 itu juga dibina dengan struktur binaan Islam yang diasimilasikan dalam pelbagai lapangan pentadbiran dan sosial hidup rakyatnya.
KUNCI PENYELESAIAN
Sebesar-besar peristiwa, pasti bermula dengan sekecil-kecil perkara.
Jutawan yang hidup mewah hari ini berkemungkinan terhasil dengan strategi perniagaannya mencuba sesuatu yang baru. Pakar dalam sesuatu profession mampu dilahirkan dengan sepotong kata-kata semangat seorang guru memotivasi anak muridnya.
Begitu juga sebaliknya, kerugian berjuta ringgit sesebuah syarikat boleh jadi disebabkan keculasan juruaudit merekod baki wang pada akaun tahun sebelumnya. Kegagalan dalam peperiksaan mungkin disebabkan kesilapan pelajar menganggar masa yang diperuntukkan dalam menjawab satu-satu soalan.
Secara realistiknya sebagai seorang pelajar, gema suara kebangkitan umat Islam di seluruh dunia pasti sama-sama didengari. Namun, semangat kesedaran ini pasti akan lenyap dibawa arus massa jika tidak dipasakkan sebenar-sebenar peranan yang mampu dimainkan dalam ruang lingkup peluang yang tersedia di depan mata. Seruan dan laungan kosong tidak mampu merubah apa-apa, apatah lagi jihad mengangkat senjata itu masih jauh keperluannya kerana itu bukan kemahiran kita.
Firman Allah ertinya:
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh, bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia pasti akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada di dalam ketakutan, menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) ini maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (An-Nuur, 24:55)
Lantas di sini hadirlah kita kepada satu kesimpulan, titik tolak kepada jatuh bangunnya umat Islam kini terletak pada keyakinan dalam meletakkan panduan Al-Quran dan petunjuk As-Sunnah di hadapan mereka. Anjakan paradigma terhadap pemikiran dan cara hidup kita yang bersisa najis jahiliyah perlu diutamakan supaya janji kemenangan itu dekat selayaknya mengikut kehendak Allah dan RasulNya.

Namun demikian bukanlah segala-galanya, ia hanya pencetus yang mampu menggerakkan umat ini kepada realiti kejayaan di masa akan datang. Syariatullah yang termaktub di dalam lembaran kitabNya mestiah diiringi Sunnatullah supaya percaturan kita bertepatan dengan ketentuan dan aturan pentadbiran Allah ke atas sekian makhluk.
Sabda Rasulullah S.A.W kepada sahabat Baginda, ertinya:
“Pelajarilah bahasa orang Yahudi kerana aku tidak merasa aman mereka menulis untuk kita.”
Pelbagai cabang ilmu yang dahulunya pernah dikuasai dan diasaskan oleh tokoh ilmuan Islam – dari semua sudut kajian ilmu – merupakan antara elemen yang memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan kestabilan umat Islam di setiap sektor kehidupan.
Ketiadaan sesebuah institusi kajian ilmu yang efektif di kalangan intelektual Islam merangkumi variasi lapangan ilmu pada hari ini sedikit banyak membantutkan potensi dan kepakaran yang sedia ada. Barisan intelektual ini mampu menjadi benteng ummah daripada sebarang penyelewangan ilmiah saintis dan pengkaji di kalangan Orientalis malah berkesan menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan semasa umat Islam di sesuatu tempat.
Maka perlu ada keinginan memuncak dalam hati kita para penuntut ilmu, cita-cita tinggi melangit untuk mendalami ilmu yang kita ceburi tidak kira bidang atau cabang pengajian. Unit atau komponen inilah yang akan mengisi binaan ummah sehingga tidak lagi tunduk menagih simpati di hadapan musuh-musuh Islam.
KESIMPULAN
Perjuangan saudara seIslam kita di Palestin memberi iktibar akan kehidupan ini merupakan sebuah medan tempur bagi orang-orang mukmin. Mulialah mereka jika berjaya menuruti setiap perintah Allah Taala melalui ajaran rasulNya dan hinalah mereka yang alpa dan lupa akan peranan dan tujuan sepanjang persinggahan di alam nyata yang sementara cuma.

Bukanlah kepapaan dan kehinaan itu diwariskan kita generasi terdahulu, tetapi kejahilan dan kealpaan telah memisahkan kita daripada warisan kegemilangan mereka.
Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; “Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dun seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orangorang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi saw. menjawab, “Bahkan kanu pada hart itu banyak sekali, tetapi kanu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan”‘. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi kita nenjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati”. (H.R. Abu Daud)
Wallahua’lam wa A’zham.
Ahmad Farhan @ ahmadfarhan.hadithuna.com
Iskandariah, Mesir
























salam paan…. mantoP laa amat… dah macam ustaz+ahli bahase dah gaye ko, haha!…. memule tngok cam pnjang… erm….ermm… nak bace x nak nie? dah start bace….x leyh benti, haha!… bnyak input2 n fakta2 menarik…. semat laa deme…! =p